SHAH ALAM: Seorang ejen permit ditahan reman enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi membantu siasatan melepaskan warga China dari depoh tahanan Imigresen, tahun lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman terhadap suspek lelaki yang merupakan warga India berusia 51 tahun.
Menurut sumber, suspek bekerja sebagai ejen permit warga asing lebih 10 tahun dan adalah ‘runner’ kepada seorang wanita yang ditahan reman semalam.
“Dia dipercayai menguruskan dokumen memo periksa keluar kepada kesemua warga China.
“Selain itu, suspek juga dipercayai mendapat sebahagian upah daripada bayaran diperoleh oleh ejen wanita pekerja asing lebih RM90,000 diterima daripada ahli perniagaan yang bergelar Datuk Seri,” kata sumber.
Terdahulu, suspek yang diwakili Peguam, S.Narasimhan ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan menerima rasuah RM300,000 berhubung melepaskan warga China di depoh Imigresen, tahun lalu.
Mahkamah turut membenarkan seorang wanita yang merupakan ‘runner’ kepada Datuk Seri tersebut ditahan reman dalam tempoh sama.
Perintah reman terhadap kedua-dua individu berusia 41 tahun dan 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil.
Sumber mengatakan, suspek meminta rasuah berjumlah RM300,000 daripada seorang individu dengan mendakwa dapat membantu melepaskan 22 warga China yang ditangkap disyaki terlibat dalam sindiket judi dalam talian dan Macau Scam.
Semua warga China itu ditahan dalam satu operasi dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar Selangor pada September tahun lalu. – UTUSAN ONLINE