Duit masuk akaun antara RM150 hingga RM3,000 sebulan - Utusan Malaysia

Duit masuk akaun antara RM150 hingga RM3,000 sebulan

TIGA anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang ditahan direman empat hari di Mahkamah Majistret, Georgetown, Pulau Pinang untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah ke atas lori milik syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam melakukan operasi besar-besaran yang dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka serta menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ kerana terlibat dalam kegiatan rasuah bernilai RM1.64 juta.

Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta dan perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2020.

Difahamkan, pegawai JPJ tersebut melibatkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula merupakan proksi.

Menurut sumber, antara modus operandi yang dikesan ialah pegawai-pegawai berkenaan tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang telah melakukan kesalahan jalan raya setelah menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

Natijahnya, seramai tiga anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Muhammad Azam Md Eusoff di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 11.15 pagi.

Terdahulu, ketiga-tiga anggota penguat kuasa JPJ itu yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an tiba ke mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM.

Mereka disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan dijalankan berikutan aduan diterima mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN