'Duduk dahulu, selesaikan pinjaman kemudian' - Zuraida - Utusan Malaysia

‘Duduk dahulu, selesaikan pinjaman kemudian’ – Zuraida

ZURAIDA Kamaruddin mengadakan pertemuan Bersama penduduk Kampung Sinaran Kempas, Johor bagi membincangkan masalah dialami penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi kelonggaran kepada individu yang layak menduduki setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) unit tinggal di unit-unit tersebut sementara menunggu permohonan pinjaman bank diluluskan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, dengan cara itu, penempatan di setiap PPR dapat diisi dalam kadar segera daripada terbiar serta mengalami kerosakan akibat kegiatan vandalisme.

Katanya, syarat permohonan sebelum ini mewajibkan pemohon membuat pinjaman bank sebelum permohonan diterima.

“Antara punca kekosongan PPR dalam tempohlama adalah menunggu kelulusan pinjaman yang dibuat dengan institusi perbankan. Bila ramai tidak layak (pinjaman bank), unit-unit PPR sudah siap dibina terbiar kosong.

“Kementerian mahu individu layak atau sudah dikenal pasti tinggal dahulu di unit PPR yang sudah siap. Dalam tempoh dua tahun itu, mereka perlu menyelesaikan isu kewangan dan usahakan pinjaman bank,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau PPR Sungai Melana Fasa II yang sudah siap dibina.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPKT akan memberikan lanjutan tempoh tambahan selama setahun bagi keluarga yang benar-benar dibelenggu masalah kewangan selepas diberi kebenaran menduduki PPR dalam tempoh dua tahun itu.

“Kita tahu kebanyakan keluarga tidak mengalami masalah membayar sewa bulanan. Yang menjadi masalahnya ialah untuk mendapatkan pinjaman bank bagi tujuan sewa beli PPR yang ditawarkan.

“Sekiranya dalam tempoh tambahan setahun itu juga mereka masih tidak berjaya, maka mereka perlu memberi laluan kepada pemohon lain menduduki unit PPR berkenaan,” katanya.

Terdahulu, beliau diiringi Steven dan Mazlan mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Sinaran Kempas, di sini, bagi menyelesaikan masalah setinggan di situ yang berlarutan lebih 20 tahun.

Hasil perjumpaan itu, pihaknya bersetuju menempatkan 500 penduduk setinggan di Kampung Sinaran Kempas yang tinggal di sepanjang rel keretapi dipindahkan ke PPR Sungai Melana Fasa II yang mempunyai 1,450 unit.

“Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penduduk setinggan Kampung Sinaran Kempas dalam masa terdekat dan KPKT meminta penduduk berkenaan diberikan keutamaan menduduki PPR Sungai Melana Fasa II,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya