JOHOR BAHRU: Dua suspek termasuk suami kepada wanita yang mati ditembak sebelum mayatnya ditanam di sebuah ladang di Felda Papan Timur, Bandar Penawar, Kota Tinggi dekat sini pada 1 Mac lalu akan didakwa di mahkamah, esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek utama yang berusia 43 tahun dan rakannya berusia 32 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Jika tiada halangan, mereka dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada 16 Mac (esok),” katanya ringkas.
Terdahulu, suspek yang juga suami kepada wanita berusia 38 tahun dan rakannya ditahan reman enam hari bermula 5 Mac lalu sebelum tempoh tahanan reman disambung enam hari dan berakhir esok.
Mayat kerani sumber manusia sebuah kilang swasta itu ditemui di dalam tong berwarna biru yang ditanam suaminya berhampiran sebuah ladang di Felda Papan Timur, Bandar Penawar, Kota Tinggi dekat sini pada 5 Mac lalu.
Rahsia pembunuhan kejam itu terbongkar selepas jiran yang juga rakan baik suspek memberi maklumat kepada polis ketika siasatan berhubung kes orang hilang yang dilaporkan suspek dijalankan.
Ibu kepada dua anak itu mati ditembak pada pukul 2.30 pagi, 1 Mac lalu dengan menggunakan senapang angin pada jarak dekat di rumah kediaman pasangan itu di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi sebelum mayatnya ditanam di kawasan ladang berkenaan. – UTUSAN ONLINE