PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu dua premis membabitkan syarikat pembungkusan biskut coklat serta kilang memproses kacang dan muruku dalam operasi bersepadu berhubung isu halal dan standard keselamatan pengguna.
Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, operasi pertama melibatkan sebuah premis di sekitar Nilai, Negeri Sembilan disyaki menggunakan perihal dagangan palsu halal serta penandaan palsu Malaysian Conformity Mark (M.C).
Beliau berkata, operasi dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan terhadap sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembungkusan serta pengedaran makanan ringan seperti biskut coklat.
“Syarikat tersebut disyaki memasukkan hadiah percuma berupa barang mainan ke dalam bungkusan atau kotak makanan ringan dengan meletakkan logo halal dan M.C yang disyaki tidak mendapat kelulusan pada kotak produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azman berkata, berikutan itu, KPDNHEP menyita produk jualan dan dokumen syarikat tersebut manakala, sebanyak 1,700 unit barang mainan yang tidak mempunyai tanda pematuhan M.C turut disita.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan ialah RM41,074. Terdapat empat unit mesin disyaki digunakan untuk tujuan pembungkusan turut dirampas dengan anggaran bernilai RM21,000.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 2011 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Dalam operasi kedua pula, be;iau berkata, ia melibatkan sebuah syarikat pengilang yang menjalankan perniagaan memproses produk makanan seperti kacang dan muruku.
“Semakan ke atas beberapa dokumen mendapati syarikat telah memperoleh pensijilan halal sah Jakim yang tamat tempoh pada 15 Februari dan 31 Oktober tahun depan.
“Bagaimanapun, Jakim telah mengeluarkan empat notis ketidakakuran kepada premis berhubung Pengilangan Kontrak Original Equipment Manufacturer (OEM) dan kawalan halal dalaman,” katanya. – UTUSAN ONLINE