KOTA BHARU: Dua remaja yang tular dalam media sosial baru-baru ini, mengaku bersalah atas pertuduhan memakai baju mempunyai lambang dan tulisan yang menghina atau lucah di Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh mereka di Bulatan Chempaka, di sini kira-kira pukul 4 petang pada 3 Mac lalu dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Gayathri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Abd. Rahman.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM100 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dan hukuman terhadap mereka akan diputuskan pada 22 Jun ini selepas menunggu laporan akhlak.
Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan.
Baru-baru ini, tular gambar tiga pelajar lelaki dipercayai baru tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menaiki dua buah motosikal dengan salah seorang daripada mereka tidak memakai topi keledar.
Lebih biadab apabila penunggang dan pembonceng yang menaiki dua buah motosikal berasingan menconteng belakang baju sekolah mereka dengan kata-kata kesat memaki hamun guru. – UTUSAN ONLINE