Dua pelajar 'biadab' akan didakwa - Utusan Malaysia

Dua pelajar ‘biadab’ akan didakwa

SHAFIEN Mamat berkata sesuatu kepada salah seorang murid di Sekolah Kebangsaan Mulong 2, Kota Bharu. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua pelajar sekolah yang menunggang motosikal memakai baju tertulis perkataan memaki hamun guru selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kes itu yang dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Kita dah ambil keterangan kedua-dua pelajar terbabit untuk siasatan lanjut selain mengeluarkan lima saman terhadap penunggang dan pembonceng motosikal itu.

“Kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan susulan,” katanya kepada pemberita selepas Program Pemantauan Kehadiran Pelajar Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sekolah Kebangsaan Mulong 2 di sini hari ini.

Akhbar melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal yang dinaiki pelajar terbabit yang tidak memakai topi keledar sehingga kejadian itu tular dalam media sosial baru-baru.

JPJ mengeluarkan notis siasatan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik motosikal tersebut.

Dalam perkembangan lain menurut Shafien, semua Ketua Polis Daerah digesa menjalankan penguatkuasaan trafik di daerah masing-masing bagi membanteras trend mengubah suai spesifikasi motosikal dalam kalangan anak muda.

“Lebih membimbangkan, penunggang motosikal yang terdiri daripada pelajar sekolah yang bertindak melakukan pengubahsuaian motosikal. Ada yang menukar pembuluh ekzos supaya mengeluarkan bunyi bising yang kuat.

“Kita telah mengatur anggota trafik mengadakan operasi setiap hari untuk mengesan remaja terbabit melakukan pengubahsuaian motosikal mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya