Dua NGO urus tiga jenazah tidak dituntut - Utusan Malaysia

Dua NGO urus tiga jenazah tidak dituntut

AHLI dua buah NGO, iaitu Amal Valley Organization (AVO) dan Pertubuhan Amal Pertubuhan Amal NurByKhiriah bergambar bersama selepas menguruskan tiga jenazah tidak dituntut di Teratak Amal Team Rembau di Taman Chembong Jaya, Rembau hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Bagi menyempurnakan urusan fardu kifayah, tiga jenazah yang tidak dikenal pasti latar belakang, tidak dituntut waris di salah sebuah hospital di Seremban telah disempurnakan secara bersama oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NGO tersebut, Amal Valley Organization (AVO) Rembau diketuai pengasasnya, Ibrahim Hamzah dan Pertubuhan Amal Pertubuhan Amal NurByKhiriah diketuai Setiausahanya, Azfaizul Ahtan.

Mereka mengambil masa selama empat jam bagi menyempurnakan kesemua urusan pengurusan jenazah tersebut dan ia dilakukan secara percuma.

Ia bermula dengan urusan mengambil jenazah di hospital dan kemudiannya dibawa ke Teratak Amal Team Rembau di Taman Chembong Jaya yang diuruskan AVO untuk tujuan memandikan jenazah, kafan, solat sebelum ia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Senawang.

Menurut Azfaizul, ini merupakan kali pertama pihaknya menguruskan jenazah yang tidak mempunyai identiti selepas NGO diuruskannya itu mula beroperasi sejak Julai tahun lalu.

“Kami merupakan sebuah NGO yang berpangkalan di Lembah Klang, namun, secara sukarela telah menguruskan jenazah secara percuma di seluruh negara terutama kepada pihak keluarga yang tidak berkemampuan menguruskan jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

“Hari ini, merupakan pertama kali pihak kami menguruskan jenazah yang tidak dikenali iaitu dua jenazah wanita dan satu jenazah lelaki. Kami mengambil kes ini selepas dimaklumkan pihak hospital. Alhamdulillah, hari ini, kami dapat menyempurnakannya bersama sebuah NGO di sini yang turut menguruskan jenazah secara percuma,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azfaizul yang juga suami kepada pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie, berkata, sejak mula beroperasi, pihaknya telah menguruskan kira-kira 40 jenazah termasuk dalam urusan penghantaran jenazah dengan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang telah diubah suai sebagai van jenazah.

Sementara itu, menurut Ibrahim, pihaknya mempunyai sebuah premis yang mempunyai kemudahan untuk memandikan dan mengkafankan jenazah dan sekiranya jenazah tersebut perempuan, pihaknya mendapat bantuan daripada Biro Muslimat, Masjid Jamek An-Nur di sini.

“Kami ada perancangan pada akan datang adalah untuk menyediakan tanah wakaf perkuburan bagi mengebumikan jenazah termasuk jenazah tanpa waris seperti hari ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN