KULIM: Seorang penunggang motosikal dan pejalan kaki maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Sungai Seluang, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, pejalan kaki, Muhammad Saiful Hassan, 28, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pesara tentera, Hamzah Ramli, 58, yang menunggang motosikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azhar Hashim berkata, kemalangan itu melibatkan dua buah motosikal, sebuah van dan dua buah kereta.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang pesara tentera datang dari arah Lunas secara tiba-tiba membelok ke kanan jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 ditunggang seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu mengakibatkan dua penunggang motosikal terjatuh di atas jalan dan sebuah van yang berada di belakang motosikal Yamaha LC 135 memberhentikan kenderaan secara mengejut,” katanya di sini hari ini.
Azhar berkata, sebuah lagi kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun tidak sempat mengelak dan merempuh van berkenaan.
Ujarnya, ketika kemalangan berlaku terdapat orang awam iaitu seorang pejalan kaki yang berada di tepi jalan di laluan bertentangan dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Avanza dari arah Lunas.
“Akibat pelanggaran itu, pejalan kaki terbabit meninggal dunia di tempat kejadian, sementara pesara tentera meninggal dunia di Hospital Kulim.
“Penunggang motosikal Yamaha LC135 itu pula mengalami kecederaan di kepala, luka di tangan sementara dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE