ALOR SETAR: Dua lelaki direman tiga hari bermula hari ini kerana disyaki memanah seekor anjing sehingga mati yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Perintah tahanan reman terhadap kedua-dua individu berkenaan yang berusia 30-an dan 20-an dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Liyana Abd. Rahim.
Sementara itu, permohonan reman untuk membantu siasatan terhadap kes tersebut dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah, Mohd. Azoni Bidin.
Terdahulu dua individu berkenaan yang dipercayai memiliki pertalian keluarga sebagai bapa dan anak saudara tiba ke lokap mahkamah dengan menaiki kenderaan ‘Black Maria’ polis kira-kira pukul 10.50 pagi.
Kedua-dua mereka yang merupakan peniaga makanan ditahan kira-kira pukul 4 dan 5 petang Darulaman Height, Jalan Golf & Country Club, Jitra serta tepi jalan di Kampung Hilir, Kepala Batas dekat sini, semalam.
Kelmarin tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam salah seorang daripada mereka memanah seekor anjing liar.
Kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 4.21 pagi hingga 5.26 pagi, 11 Mac lalu di kawasan Seberang, Jalan Putra, di sini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015/ Sek 45 Akta Binatang 1953. – UTUSAN ONLINE