Dua kontena tiba dari AS disahkan barang dagangan - Utusan Malaysia

Dua kontena tiba dari AS disahkan barang dagangan

DUA buah kontena dari Amerika Syarikat yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor Sabtu lalu disahkan sebagai barang dagangan HS3915 iaitu sisa plastik jenis Polyethylene.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua buah kontena dari Amerika Syarikat yang tiba di Pelabuhan Klang, Selangor Sabtu lalu disahkan sebagai barang dagangan HS3915 iaitu sisa plastik jenis Polyethylene.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan pemeriksaan ke atas dua buah kontena itu dan menafikan ia mengandungi sisa plastik seperti yang didakwa.

Beliau berkata, pemeriksaan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Westport Malaysia Sdn. Bhd.

“JPSPN telah mengesahkan bahawa sisa plastik tersebut adalah bersih, homogenous dan memenuhi kriteria seperti yang disyaratkan di dalam lesen import sisa plastik (Approved Permit, AP) kepada pengimport.

“Selaku Competent Authority kepada Basel Convention, JAS mengesahkan bahawa sisa plastik tersebut adalah mematuhi kriteria B3011 Basel Convention,” katanya.

Katanya, pengimportan sisa plastik B3011 itu tidak memerlukan prosedur Prior Inform Consent (PIC) dan notifikasi daripada negara pengeksport.

Tuan Ibrahim berkata, semakan JAS ke atas premis pengimport juga mendapati premis mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan menjalankan aktiviti kitar semula sisa plastik secara Environmental Sound Manner (ESM).

“Kerajaan amat menghargai sebarang maklumat awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan sisa plastik merentas sempadan ke negara Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk mengimport sebarang sisa ke Malaysia adalah diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Mereka yang melanggar akta itu akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi perundangan dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN