PETALING JAYA: Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan pokok tumbang sehingga menghempap dua kenderaan di Desa Setapak dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.59 pagi itu, pokok tersebut turut menghempap pagar dua kediaman dan kabel elektrik berhampiran.
Jurucakap Pusat Gerakan Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dan BBP Sentul dengan kekuatan 11 anggota serta seorang pegawai digerakkan bagi membantu membersihkan pokok tumbang.
“Kita mendapati pokok itu telah menghempap dua kenderaan jenis Perodua Kancil dan Viva. Kerja-kerja pembersihan dan memotong sedang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, bagaimanapun kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa.