PUTRAJAYA: Dua kategori barisan petugas hadapan yang berisiko tinggi dijangkiti atau berpotensi menyebarkan Covid-19 sekali gus diberi keutamaan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dalam satu kenyataan menyebut, kategori satu adalah mereka yang terbabit secara langsung dengan penjagaan rawatan dan kesihatan yang juga meliputi institusi di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, hospital pembelajaran dan swasta.
Kategori dua pula jelasnya, anggota yang terlibat dalam sektor kesihatan, agensi pertahanan, keselamatan dan perkhidmatan penting.
“Butiran kategori satu adalah anggota teknikal iaitu kumpulan pengurusan dan profesional, paramedik dan auksiliari yang
terlibat dalam penjagaan pesakit di fasiliti kesihatan, pengendalian spesimen pesakit, disinfeksi persekitaran, kawalan kesihatan awam di lapangan, berinteraksi secara langsung dengan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas jawatankuasa itu, anggota teknlkal yang dimaksudkan adalah kumpulan pengurusan dan profesional iaitu pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi, pegawai sains dan pegawai kesihatan persekitaran.
Selain itu, kumpulan paramedik dan auksiliari iaitu jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, penolong pegawai farmasi, jurubahasa x-ray, juruteknologi makmal perubatan, pembantu perawatan kesihatan, pemandu dan pembantu kesihatan awam.
“Bagi kategori dua pula, ia melibatkan sektor kesihatan seperti pengamal perubatan am, doktor gigi swasta, pengamal perubatan tradisional dan komplemantari, serta makmal swasta yang berdaftar.
“Turut meliputi anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, kontraktor Kementerian Kesihatan seperti perkhidmatan pembersihan dan perkhidmatan kawalan keselamatan, pengendali perkhidmatan hemodialisis, guru sekolah rendah dan menengah yang menghidap lebih daripada satu masalah kesihatan kronik, atau pelbagai morbiditi,” katanya.
Tambahnya, turut tersenarai, menteri, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai kerajaan yang terlibat di dalam lawatan rasmi menteri.
“Bagaimanapun, sebarang pindaan kepada garis panduan ini adalah tertakluk kepada keputusan dan ketetapan jawatankuasa khas terbabit,” katanya.