KULIM: Dua beranak maut selepas kereta yang mereka naiki terlibat kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kereta berhampiran pasar borong di Jalan Sungai Karangan-Padang Serai, di sini malam tadi.
Mangsa yang maut dalam kemalangan pada pukul 9.22 malam itu ialah pemandu kereta Perodua Kancil, Zaifisal Zakaria, 42, dari Taman Seri Melur, Padang Serai di sini dan anaknya, Muhammad Zafril, 9, meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kulim.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, pemandu kereta Honda Civid 1 Vtech yang berusia 28 tahun dan pemandu Proton Wira berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila pemandu Honda Civid terbabit melanggar bahagian tepi belakang sebelah kanan kereta Proton Wira ketika cuba memotong kereta berkenaan.
“Kedua-dua kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Lunas di sini.
“Kereta Honda Civid itu yang hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Kancil dari arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.
Azhar memberitahu, akibat pelanggaran itu, Zaifisal mengalami kecederaan parah selepas tersepit dalam kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, Muhammad Zafril yang duduk di bahagian penumpang hadapan yang juga mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Kulim dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Pemandu kereta Honda Civid itu dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian dan polis sedang mengesannya,” jelasnya.
Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.