Dua beranak dituduh dera amah warga Kemboja - Utusan Malaysia

Dua beranak dituduh dera amah warga Kemboja

TEOH Beng Sim (kanan) dan Teh Hooi Fung (kiri) mengaku tidak bersalah atas dakwaan mendera pembantu rumah warga Kemboja di Mahkamah Sesyen di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua beranak mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini atas dakwaan mendera pembantu rumah mereka iaitu seorang wanita warga Kemboja bulan lepas.

Tertuduh, Teoh Beng Sim, 57, dan anaknya, Teh Hooi Fung, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, Beng Sim dan Hooi Fung secara bersama telah memperdagangkan Soy Rom, 27, bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara kekerasan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No. 20, Jalan Perpaduan Kampung Baru, Bukit Mertajam kira-kira pukul 10.45 malam pada 24 Februari lalu.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan kini berdepan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 tiap seorang beserta seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 15 haribulan sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk K.P. Supramaniam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pembantu rumah warga Kemboja yang dipercayai menjadi mangsa dera dijumpai berada di atas lantai dalam sebuah bilik ketika diselamatkan.

Selain terdapat kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan, mangsa turut mengadu didera dengan cara dipukul, disimbah air panas dan dicubit oleh majikannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya