Dua beranak cedera, rumah 100 tahun musnah dalam kebakaran - Utusan Malaysia

Dua beranak cedera, rumah 100 tahun musnah dalam kebakaran

KEADAAN sebuah rumah dianggarkan berusia lebih 100 tahun di Kampung Seberang Batu Hampar, Rembau petang tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Dua beranak cedera apabila kediaman pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami mereka di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini musnah dalam kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Maimunah Shah, 80, dikatakan cuba masuk ke dalam rumah tersebut yang sedang terbakar menerusi pintu dapur bagi menyelamatkan anaknya, Zaidi Zainuddin, 40, yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Tindakannya, bagaimanapun sempat dihalang seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Seorang penduduk, Azizul Abd Azis, 45, ketika kejadian dia berada tidak jauh dari rumah berkenaan dan ternampak asap hitam berkepul-kepul naik ke udara.

“Bimbang ada perkara buruk, saya dan beberapa rakan yang lain pergi melihat apa yang terbakar. Apabila sampai, saya lihat api sudah marak di hadapan rumah dan terdapat seorang lelaki yang merupakan anggota polis sedang berusaha menyelamatkan mangsa OKU yang masih di dalam rumah.

“Anggota ini kebetulan melalui kawasan ini untuk pulang ke rumahnya selepas habis bertugas. Mujur ada dia yang segera menyelamatkan mangsa dan menghalang ibu mangsa daripada masuk ke dalam rumah sebelum pasukan bomba tiba,” katanya keada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Fuad Majid berkata, pasukannya segera ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 6.44 petang dan tiba di lokasi pada pukul 6.51 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa yang cedera dan melecur sudah di bawa keluar dan tidak lama selepas itu mangsa di hantar oleh pasukan paramedik ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Api berjaya dikawal pada pukul 7.25 malam dan kebakaran padam sepenuhnya pada pukul 7.46 malam. Rumah berstruktur separa kekal ini dianggarkan musnah sebanyak 80 peratus.

“Dalam kejadian ini, kami turut mendapat bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau bagi membantu memadamkan kebakaran,” katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya