KULIM: Dua beradik ditahan selepas didapati membawa muatan 79 unit mesin Bitcoin menggunakan sebuah lori di Sungai Kob, di sini, Ahad lalu.
Mereka yang berusia 21 dan 27 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen berkaitan kesemua mesin tersebut yang bernilai RM237,000 itu kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, lori dinaiki dua suspek terbabit dalam perjalanan dari Sungai Kob menghala Sungai Petani dekat sini.
“Anggota polis yang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah ternampak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan lalu menahan kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui 79 unit mesin Bitcoin dan mereka gagal memberikan dokumen berkaitan mesin yang dibawa,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki itu ditahan kerana terdapat kemungkinan mesin berkenaan dicuri.
“Hasil soal siasat, mereka mendakwa diupah untuk membawa mesin tersebut dari sebuah premis di Sungai Kob untuk dibawa ke Sungai Petani oleh seorang individu melalui telefon,” jelasnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah dan bekerja sebagai penghantar barang direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Sehingga kini belum ada pihak yang datang membuat laporan kepada polis di daerah ini berkaitan kehilangan mesin Bitcoin dan kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, kegiatan seorang kontraktor pendawaian elektrik yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian pendingin hawa terbongkar selepas dia ditahan di sebuah rumah di Padang Serai kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan bersama barangan elektrik yang dilaporkan hilang bernilai kira-kira RM20,000.
Kata Azhar, penahanan suspek berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi pendingin hawa di kediaman dan premis perniagaan di daerah ini.
“Suspek direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE