IPOH: Barisan Nasional (BN) negeri tidak terkesan terhadap tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri DAP yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan itu adalah pilihan sendiri dua ADUN berkenaan dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ia terpulang kepada mereka untuk menentukan kecenderungan sokongan termasuk bertukar parti tanpa ada paksaan.
Beliau yang juga Pengerusi UMNO Perak tidak melihat sebarang kesan terhadap peralihan sokongan dua ADUN tersebut kerana fokus BN dan UMNO ketika ini adalah untuk mengambil berat soal rakyat serta memakmurkan negeri.
“Malaysia ini negara demokrasi, bebas buat pilihan. Fokus (BN) sekarang untuk membangunkan negeri.
“Apabila tiba pilihan raya nanti, kita tengoklah bagaimana (sokongan rakyat kepada parti politik),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gotong Royong Bersama Menteri Besar Perak di Rumah Pangsa Conolly, Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamad Radzi dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Semalam, media melaporkan, ADUN Tronoh, Paul Yong dan ADUN Buntong, A. Sivasubramaniam yang sebelum ini memenangi kerusi DAP atas tiket Pakatan Harapan (PH) menyertai Bersatu.
Namun, kedua-dua ADUN itu keluar parti pada Mac tahun lalu di mana Sivasubramaniam pada bulan lalu menyertai Gerakan sementara Yong sebelumnya menjadi ADUN bebas.
Dengan langkah terbaru Sivasubramaniam itu, Gerakan kini tiada wakil dalam DUN Perak.
DUN Perak sebelum ini mempunyai 59 kerusi dengan UMNO memiliki wakil terbanyak 25 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi. – UTUSAN ONLINE