KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, dua akaun simpanan tetap Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah dibekukan bagi menghalang proses pencairan dan pengeluaran tunai daripada kedua-dua akaun berkenaan.
Mohd. Amirudin Nordin, 38, berkata, akaun simpanan tetap itu yang diuruskan oleh Tetuan Lewis & Co. (pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi) kemudian disita bagi membolehkan siasatan dijalankan bagi kes pengubahan wang haram.
Menurut saksi yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai kepentingan terhadap kedua-dua akaun simpanan tetap tersebut kerana beliau memberikan segala arahan kepada Lewis & Co.
Ujarnya, perintah penyitaan itu kemudian diserahkan kepada Unit Pematuhan Maybank bertujuan menghalang segala urusan berkaitan kedua-dua akaun simpanan tetap itu daripada terus beroperasi.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua akaun simpanan tetap tersebut adalah hasil daripada aktiviti wang haram,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama.
Bagaimanapun Hakim Collin Lawrence Sequerah mencelah dengan menyatakan isu berkaitan aktiviti wang haram itu adalah pendapat pegawai penyiasat dan tidak perlu dibangkitkan pada peringkat ini sebaliknya boleh dikemukakan ketika sesi penghujahan.
Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan
puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Mohd. Amirudin berkata, siasatan turut mengesan 72 keping cek yang dibayar kepada Tetuan Lewis & Co. atas tujuan berbeza.
Jelas saksi, daripada jumlah itu, 27 keping cek melibatkan sumbangan kepada Yayasan Akalbudi walaupun tiada dokumen dikeluarkan sebagai bukti penyerahan sumbangan.
Menurut beliau, walaupun tiada dokumen dikeluarkan bagi mengesahkan sumbangan tersebut, maklumat itu diperolehi selepas merakam keterangan pemilik-pemilik cek.
Saksi berkata, semua pemberi cek tersebut tiada apa-apa urusan dengan Lewis & Co.
Sementara itu, seorang lagi pegawai penyiasat SPRM, Mohamad Khairi Ibrahim, 29, memberitahu mahkamah bahawa beliau ada merakam percakapan bekas Setiausaha Yayasan Akalbudi, Idris Kechek berhubung siasatan ke atas yayasan itu.
Mohamad Khairi berkata beliau merakam percakapan Idris sebanyak dua kali pada 8 Jun 2018 dan 18 Julai 2018 di Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Saya merujuk kepada penyataan dalam pemeriksaan atas nama Idris Kechek muka surat lapan hingga 24 dan mengesahkan bahawa ini adalah rakaman percakapan yang saya rakam,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya.
Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt kemudian memberitahu mahkamah bahawa Idris telah meninggal dunia pada 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -UTUSAN ONLINE