GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan lima buah dron bagi melakukan pemantauan kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut ketika cuaca panas.
Pengarah Unit Udara JBPM, Nazili Mahmood berkata, penggunaan dron berteknologi tinggi itu adalah langkah efektif untuk mengesan dan mengawal kebakaran berskala besar dalam tempoh lebih pantas.
Katanya, pihaknya mendapati tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Johor sering mengalami kebakaran hutan ketika musim kemarau ini.
“Penggunaan dron dapat membantu bomba mengenal pasti keluasan kawasan kebakaran dan menentukan tindakan yang perlu dilakukan dengan lebih pantas.
“Kita bersyukur apabila mendapat tambahan empat unit dron baharu bagi membantu operasi satu unit dron sedia ada sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau operasi hari kedua penghantaran bantuan bekalan makanan kepada Orang Asli oleh Unit Udara JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini hari ini.
Nazili berkata, baru-baru ini pihaknya telah membuat pemadaman kebakaran tanah gambut di kawasan Tanjung Sepat, Selangor seluas 61 hektar dan kebakaran hutan di Muadzam Shah, Rompin, Pahang (121 hektar).
Katanya,penggunaan dron operasi itu berjaya menyekat kebakaran daripada merebak lebih meluas di hutan terbabit.
“Jadi lima dron ini kita telah gunakan secara aktif dalam pelbagai situasi kerana boleh menjimatkan masa dan kos proses sesuatu operasi. Di dua kawasan itu kita berjaya menyelesaikan operasi pemadaman kebakaran dalam masa lima hingga sembilan hari,” katanya.