DRB-Hicom, Malakoff luah hasrat pelaburan di Zon Ekonomi Khas Pagoh - Utusan Malaysia

DRB-Hicom, Malakoff luah hasrat pelaburan di Zon Ekonomi Khas Pagoh

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAGOH: DRB-Hicom Bhd. dan Malakoff Corporation Bhd. menyatakan hasrat mereka untuk melabur di kawasan Zon Ekonomi Khas Pagoh, di sini yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelaburan terbabit melibatkan dua syarikat besar dan perancangan pembinaan dua projek yang juga berskala besar.

Menurut beliau, pihaknya berhubung secara langsung dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary yang merupakan pemegang saham terbesar dalam kedua-dua syarikat (DRB-Hicom dan Malakoff Corp) yang mengesahkan tentang minatnya untuk melabur di situ.

“DRB-Hicom menerusi Proton Holdings Bhd. akan membina kilang pembuatan komponen berkaitan automotif seperti yang terdapat di Tanjung Malim, Perak.

“Malakoff Corp. pula, menerusi anak syarikat di bawah kumpulan itu merancang untuk membina kilang mengeluarkan panel solar.

“Ini akan melibatkan pelaburan yang besar, pengambilan pekerja yang ramai dan saya amat mengalu-alukan pelaburan mereka. Saya harap ia dapat dilaksanakan pada fasa pertama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh di Galeri Jualan Sime Darby, di sini hari ini.

Sementara itu dalam ucapan beliau, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir memberitahu, kerajaan telah menarik lebih RM200 juta komitmen pelaburan bagi fasa pertama pembangunan zon ekonomi itu setakat ini.

Katanya, fasa pertama zon berkenaan dijangka mengambil tempoh lima hingga tujuh tahun yang menempatkan kawasan perindustrian seluas 172 hektar dan pusat keusahawanan seluas 168 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM1.1 bilion.

“Kerajaan sedar bahawa pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) memainkan peranan penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi di Pagoh.

“Bagi menarik lebih banyak FDI dan DDI, kerajaan komited menyediakan suasana kondusif melalui beberapa insentif fiskal dan bukan fiskal untuk menarik minat pelabur asing dan tempatan yang berkelayakan untuk merangsang pertumbuhan pesat di Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa 1 ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan permohonan di bawah pakej galakan istimewa bagi kawasan zon ekonomi itu yang menawarkan pengecualian cukai pendapatan, duti setem dan cukai jualan selama lima tahun ke atas syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang disasarkan.

“Kerajaan juga akan memanjangkan insentif berkaitan kepada syarikat yang diiktiraf sebagai first mover company yang mampu membawa aktiviti bernilai tinggi kepada kawasan Zon Ekonomi Khas Pagoh untuk pakej galakan istimewa ini.

“Zon ini juga bakal memberikan keutamaan kepada industri sasaran yang telah dikenalpasti termasuklah industri berasaskan kayu dan perabot, tekstil, penghasilan makanan dan minuman, produk automotif kejuruteraan, elektrikal dan elektronik serta pembuatan berasaskan teknologi hijau dan produk berasaskan pertanian,” katanya.

Tambah beliau, zon ekonomi khas itu adalah salah satu pelaksanaan janji kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan bukan sahaja kebajikan rakyat dipelihara, tetapi juga meningkatkan peluang pendapatan rakyat Malaysia secara umumnya agar kemakmuran negara dapat dikongsi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya