Doktor pakar KPJ Puteri terima suntikan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Doktor pakar KPJ Puteri terima suntikan vaksin Covid-19

SEBAHAGIAN doktor pakar di Hospital Pakar KPJ Puteri yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Taman Adda, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bagi memastikan Hospital Pakar KPJ Puteri berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan pesakit, barisan doktor pakar hospital itu telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Puteri, Haliza Khalid berkata, barisan doktor pakar berkenaan merupakan kumpulan pertama di hospital itu yang menerima suntikan tersebut.

Menurutnya, mereka menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di Dewan Muafakat Johor, Taman Adda, di sini.

“Ini adalah antara sokongan hospital swasta kepada kerajaan dalam usaha memberi keyakinan kepada rakyat tentang pengambilan vaksin ini.

“Kita sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam mendepani pandemik Covid-19 dengan memastikan semua barisan hadapan anggota kesihatan divaksin terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Suntikan berkenaan dibuat menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama yang dibuat secara berperingkat bermula 1 Mac sehingga April ini.

Tambah beliau, inisiatif itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan lebih 70 peratus populasi negara divaksin bagi membolehkan usaha mengekang pandemik Covid-19 memberi kesan.

“Senarai doktor pakar ini dibuat melalui proses imbasan kod menerusi aplikasi MySejahtera, yang merupakan satu daripada kaedah pendaftaran penerimaan vaksin Covid-19 di negara ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN