Didenda RM10,000, penjara cuba rasuah polis - Utusan Malaysia

Didenda RM10,000, penjara cuba rasuah polis

R. LINGESWARAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini selepas dijatuhi hukuman penjara dan denda atas kesalahan cuba merasuah anggota polis, Julai tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas kakitangan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan ddenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merasuah anggota polis, Julai tahun lalu.

Tertuduh, R. Lingeswaran, 38, juga berdepan hukuman penjara dua minggu lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman tersebut dijatuhkan setelah Lingeswaran yang merupakan pegawai am rendah di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengaku bersalah di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, Lingeswaran didakwa memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM350 kepada Sarjan Som Nek Euat yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sekitar Jalan Tupai, Taiping pada pukul 9.20 malam, 13 Julai 2020.

Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan untuk Som Nek Euat tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lelaki itu kerana menghalang tugas penjawat awam bagi menjalankan pemeriksaan terhadap dirinya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya