Dicekup polis sebelum jual kabel curi - Utusan Malaysia

Dicekup polis sebelum jual kabel curi

KABEL elektrik yang dicuri dua lelaki sebelum mereka dicekup polis ketika menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan di Taman Megah Ria, Masai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua lelaki ‘kempunan’ apabila tidak sempat menjual kabel elektrik yang dicuri setelah dicekup polis di Jalan Cenderai 17, Taman Megah Ria, Masai, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, anggota polis dari Balai Seri Alam yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah ternampak suspek dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 cuba melarikan diri namun berjaya ditahan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 30-an menemukan tiga gelung kabel elektrik yang telah dipotong.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menemukan paket lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, polis turut merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan suspek untuk mencuri kabel iaitu penukul, pemotong kabel, spanar boleh laras dan sebilah pisau.

Jelasnya, siasatan awal ke atas kedua-dua suspek mendedahkan kabel tersebut dicuri di sebuah kilang di kawasan perindustrian Taman Kota Puteri.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya