Desakan dari golongan tiada jawatan - Wan Ahmad Fayhsal - Utusan Malaysia

Desakan dari golongan tiada jawatan – Wan Ahmad Fayhsal

WAN Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua dari kiri) melawat gelanggang bola jaring di Taman Kerian, Parit Buntar hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Gesaan keras supaya pemimpin-pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet dan syarikat milik kerajaan (GLC) meletakkan jawatan hanya dibuat oleh golongan yang tiada jawatan dalam kerajaan.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, terpulang kepada ahli UMNO sama ada mahu akur atau tidak terhadap desakan tersebut.

“Bersatu tidak boleh halang dan kami tidak mahu kerajaan tergugat disebabkan desakan liar daripada pimpinan tertinggi mereka.

“Sepatutnya, mereka ini berani bersuara kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, apa pun terpulang kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika melawat gelanggang bola jaring di Taman Kerian di sini hari ini.

Mengenai keputusan UMNO untuk bertanding secara sendirian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, perkara itu tidak realistik kerana zaman menubuhkan kerajaan parti tunggal sudah berakhir.

“Orang Melayu sudah biasa memilih pelbagai parti yang mewakili aspirasi mereka. Dahulu, hanya ada parti Pas dan UMNO, namun, kini terdapat beberapa parti yang juga mewakili suara orang Melayu termasuk parti Bersatu,” katanya.

Menurutnya, ramai pimpinan UMNO sebenarnya sedar keadaan itu sehinggakan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga bercakap mengenainya dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.

Beliau berkata, namun, ramai pemimpin UMNO berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.

Katanya, dalam keadaan politik sekarang, suka atau tidak, kena berunding dengan parti-parti lain agar ada angka yang cukup bagi menubuhkan kerajaan.

“Kalau UMNO mahu tinggalkan Perikatan Nasional (PN), tinggalkan Bersatu dan Pas, selepas menang kerusi nanti nak tubuh kerajaan dengan siapa?

“Adakah dengan DAP atau PKR? Itu yang kami dengar sehingga mendapat tentangan ramai ahli MKT,” katanya.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan agar menteri dan timbalan menteri parti itu meninggalkan Kabinet kerajaan.

Ia sebagai bukti kesetiaan kepada UMNO yang didakwanya ‘ditindas’ oleh parti dipimpin Muhyiddin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya