Deratan gerai musnah terbakar, empat beranak tinggal sehelai sepinggang  - Utusan Malaysia

Deratan gerai musnah terbakar, empat beranak tinggal sehelai sepinggang 

DERETAN gerai musnah terbakar, empat beranak tinggal sehelai sepinggang 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT -Empat beranak tinggal sehelai sepinggang selepas gerai yang turut dijadikan tempat tinggal musnah dalam kebakaran di Jalan Rugayah di sini kira-kira 6.15 petang, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, empat deretan kedai iaitu tiga gerai makan dan sebuah kedai menjual cakera padat (VCD) musnah terbakar yang dipercayai bermula dari sebuah rumah kosong yang terletak di belakang gerai.

Menurut mangsa, Harizah Abd Hamid, 43, ketika kejadian, dia sekeluarga termasuk suami dan dua anak berusia 13 dan 25 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal sedang berehat.

“Kebetulan kami tidak berniaga pada hari itu. Ketika sedang bersembang, suami ternampak kenderaan atas jalan perlahan dan sesak dan tertanya-tanya apa yang terjadi.

“Apabila keluar, kami ternampak asap dan saya terus memeriksa bahagian dapur takut saya terlupa ada benda yang dimasak, tetapi tiada.

“Kemudian saya periksa di belakang rumah dan melihat kepulan asap keluar dari rumah kosong yang terdapat di belakang kedai.

“Saya terus menelefon bomba dan dalam 10 minit, api menyambar di bahagian dapur, kita berusaha juga menyimbah air dahulu, tetapi, kerana asap yang begitu banyak dalam kedai, muka sudah perit dan tak boleh bernafas, jadi kami semua keluar,” katanya ketika ditemui di Perserai di sini hari ini.

Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan beberapa peralatan perniagaan yang terletak di bahagian depan kedai.

“Saya tak dapat selamatkan pakaian apa pun termasuk baju persekolahan anak, barang elektrik semua musnah dan saya anggarkan kerugian kira kira RM30,000.

“Saya mewarisi perniagaan daripada keluarga dan mengambil alih sepenuhnya pada 2017 dan kejadian kebakaran ini kali kedua berlaku di kawasan ini tetapi kali ini lebih teruk,” katanya.

Kata Harizah, dia bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi penempatan percuma selama tiga bulan kepada keluarganya di Rumah Transit Orang Orang Tua Peserai.

“Pelbagai pihak sudah datang membantu termasuk Baitulmal, wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan, jiran dan rakan rakan, lain lain dan hanya Allah sahaja mampu membalasnya,” katanya.

Mereka yang ingin menyalurkan bantuan boleh melakukan demikian dengan menghubungi  Harizah di talian +60177153792 atau salurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 0310029811465670. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya