Datuk Seri didakwa cabul, sebut perkataan lucah kepada anak perempuan - Utusan Malaysia

Datuk Seri didakwa cabul, sebut perkataan lucah kepada anak perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap dua tuduhan
mencabul kehormatan anak perempuannya dan satu tuduhan mengeluarkan perkataan berunsur lucah yang mengaibkan mangsa.

Pemilik beberapa buah pasar mini itu (namanya dirahsiakan oleh mahkamah) mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan
dibacakan terhadapnya.

Tuduhan pertama, bapa kepada empat orang anak itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan anak
kandungnya yang berusia 20 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 1 pagi dan 2 pagi, 16 Julai tahun lalu di ruang tamu rumah mereka di Jalan Sentul di sini.

Tuduhan kedua, ahli perniagaan berusia 48 tahun itu didakwa mencabul mangsa yang sama kira-kira pukul 12.45 tengah malam, 9 Januari lalu di hadapan bilik tidur tingkat bawah rumah tersebut.

Bagi kedua-dua tuduhan, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum
10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Tuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan berunsur lucah yang mengaibkan anak perempuannya antara pukul 12.45 tengah
malam dan 1 pagi, 17 Julai tahun lalu di dalam sebuah kereta mewah di Sentul.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau
kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Josiendra Abu Senin memohon ahli perniagaan itu dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi
memastikan kehadirannya ke mahkamah manakala tertuduh dilarang mengganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Pendakwa raya memohon jaminan yang tinggi berdasarkan status dan keupayaannya selaku ahli peniagaan berjaya yang mempunyai beberapa
pasar mini di ibu negara.

Hujah Mohd. Josiendra, jaminan rendah tidak sesuai kerana kes tersebut serius melibatkan bapa dan anak kandung.

Bagaimanapun, peguam M. Puravalen memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sebelum ini dikenakan jaminan polis selama sebulan ketika siasatan dijalankan.

Difahamkan, mangsa yang juga pengadu kes tidak lagi menetap di rumah tersebut.

Menurut peguam bela, keadaan yang mana tertuduh mengganggu mangsa tidak akan berlaku sebaliknya gadis itu yang berkunjung ke situ.

Namun demikian, peguam pemerhati kepada mangsa, Datuk K. Ganesh berhujah, mangsa tidak wajar dipersalahkan kerana anak-anak tertuduh yang pergi ke rumah itu untuk mengambil buku-buku sekolah.

Majistret Wong Chai Sia membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga tuduhan dan memerintahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah turut melarang tertuduh mengganggu saksi-saksi sepanjang perbicaraan berlangsung. Sebutan dan penyerahan dokumen ditetapkan
pada 27 April ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya