PUTRAJAYA: Seorang pengurus syarikat bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan dokumen mempunyai butiran palsu bagi memperoleh projek bernilai kira-kira RM8.9 juta di sebuah kementerian.
Menurut sumber, projek tersebut ialah tender membekal makanan di institusi kerajaan bagi tempoh dua tahun bermula 2018.
Difahamkan, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 12 tengahari, hari ini.
Bagaimanapun, suspek tersebut dilepaskan dengan jaminan SPRM setelah rakaman percakapan selesai dilakukan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 ASPRM 2009. – UTUSAN ONLINE