JOHOR BAHRU: Rekod dalam Sistem Maklumat dan Pengurusan Kimia (CIMS) di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi mengenal pasti mana-mana gas yang mengandungi kimia atau jumlah kuantiti yang digunakan di lokasi-lokasi tertentu terutama di Pasir Gudang, didapati tidak lengkap.
Pendedahan ini dilakukan Badan Bertindak Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam laporannya yang turut mendapati CIMS tidak melakukan audit dengan kerap.
“Pada masa ini, kilang-kilang kimia hanya melaporkan kepada CIMS bahawa bahan kimia dalam simpanan yang diimport dan dihasilkan melebihi satu tan metrik manakala bahan kimia yang dibeli dari syarikat tempatan tidak dilaporkan.
“Maklumat tambahan mengenai bahan kimia berbahaya yang disimpan atau digunakan oleh kilang-kilang kimia boleh didapati dalam Laporan Penilaian Risiko Kesihatan Kimia (CHRA). Bagaimanapun, kami tidak mendapat akses kepada kesemua laporan CHRA di Pasir Gudang daripada JKKP,” jelas ASM di sini semalam.
Namun jelas ASM dalam laporan sama, pihaknya dapat menyimpulkan lokasi paling
berkemungkinan untuk sumber akrolein, akrilonitril dan metil merkaptan berada dalam kawasan industri Pasir Gudang yang dikelilingi Jalan Pasir Gudang, Jalan Emas dan Jalan Pekeliling berdasarkan liputan kontur ketumpatan tertinggi.
Bagi gas benzena, lokasi disyaki terdapat bahan tersebut adalah juga di kawasan industri Pasir Gudang yang dibatasi oleh Lebuhraya JB-Pantai Timur, Jalan Pekeliling dan Lebuhraya Pasir Gudang.
Berdasarkan penemuan itu, ASM menggariskan beberapa cadangan kepada kementerian dan agensi untuk dilaksanakan bagi mengelak insiden keracunan gas toksik berulang di kawasan itu dan lokasi perindustrian lain.
“Tindakan segera yang disyorkan adalah mengaudit syarikat-syarikat yang terletak di
kedua-dua kawasan tersebut untuk menentukan inventori kimia sebenar mereka dan seterusnya mengenal pasti pihak-pihak yang bertanggungjawab.
“Bagi mengenal pasti sumber pelepasan kimia toksik, pengumpulan data harus lebih teliti, konsisten dan lengkap. Data pemantauan udara dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan data daripada Jabatan Meteorologi perlu digabungkan dengan data epidemiologi Jabatan Kesihatan negeri bagi menentukan had tertinggi terhadap pendedahan kepada bahan pencemar sebelum simptom muncul,” katanya.
Selain itu, lokasi sumber pelepasan boleh ditentukan lebih tepat dengan memadankan siri masa kepekatan pencemar dengan siri masa yang dijana model penyebaran pencemaran udara keadaan tidak mantap, CALPUFF dari setiap serombong dalam kawasan pertama dan kedua.
“Pemodelan trajektori belakang terubah suai boleh dimanipulasi bagi menganalisis gas-gas toksik yang lebih tumpat daripada udara. Malah alat yang lebih canggih untuk mengesan lebih banyak jenis bahan kimia toksik dalam persekitaran harus digunakan,” jelas laporan itu. – UTUSAN ONLINE