KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi kata dua kepada pemilik kapal dagang yang berlabuh secara haram di perairan Timur Johor agar mendapatkan kebenaran berlabuh atau keluar daripada kawasan tersebut.
Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.
Katanya, Operasi Khas Jangkar Haram yang dijalankan sejak Rabu sudah menahan sebanyak 31 buah kapal dagang yang berlabuh tanpa mendapat kebenaran Pengarah Jabatan Laut.
“Operasi khas Jangkar Haram yang dijalankan bagi hari keeenam ini menyaksikan jumlah kapal dagang yang masih berdegil berlabuh di kawasan Tompok Utara berkurangan kepada 12 buah kapal berbanding 105 yang dikesan pada hari pertama operasi.
“Kita akan meneruskan operasi ini bagi mengambil tindakan sehingga kawasan tersebut dapat dibersihkan sepenuhnya dalam masa singkat ini.
“Tindakan untuk pemeriksaan dijalankan ke atas sesebuah kapal mengambil masa yang panjang disebabkan pelbagai faktor termasuk cuaca,” katanya selepas mengetuai Operasi Jangkar Haram di kawasan perairan Tompok Utara dekat sini hari ini.
Operasi bersepadu berkenaan melibatkan beberapa aset Maritim Malaysia melibatkan lima buah kapal, empat buah bot, dua helikopter dan dua pasukan tindakan khas.
Nurul Hizam berkata, sepanjang operasi dijalankan, tidak ada kapal dagang baharu yang berlabuh masuk ke kawasan perairan berkenaan secara haram.
Katanya, keberkesanan operasi tersebut juga mencatatkan jumlah kapal yang mematuhi undang-undang yang ditetapkan semakin bertambah dengan sebanyak sembilan buah kapal sudah mendapat kebenaran berlabuh secara sah.
“Kapal yang masih berdegil berlabuh secara haram berada di kawasan berkenaan perlu segera beredar atau melakukan proses permohonan untuk mendapatkan kelulusan.
“Kita harap semua kapal dari mana-mana negara di kawasan itu menghormati kedaulatan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan dan menjadikan perairan itu menjadi lebih aman bagi kegunaan semua pihak berkepentingan.
“Kita tidak mahu kawasan ini menjadi lokasi yang boleh berlaku kemalangan dan pencemaran laut serta pelbagai masalah lain,” katanya.
Dari awal tahun hingga kini, sebanyak 31 buah kapal dagang ditahan pihak Maritim Malaysia bagi kesalahan berlabuh secara haram.