PUTRAJAYA: Dalang UMNO yang secara sembunyi mahu bekerjasama dengan DAP-Pakatan Harapan (PH) menerusi rundingan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lebih buruk daripada mereka yang kononnya membocorkan maklumat mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Mohd. Zain Yasim berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mendedahkan individu yang dimaksudkan tersebut kerana ia secara jelas melanggar prinsip UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’.
Menurut beliau, tindakan Presiden UMNO itu dilihat cuba mengaburi mata rakyat dan ahli parti terhadap kesilapan lampau apabila tular isu sebelum ini yang mana beliau menandatangani surat persetujuan kerjasama denga Anwar-DAP.
“Dari segi ketetapan, mungkin MKT tahu di dalam (siapa dalang). Tetapi hakikat sebenarnya kecelaruan ini sukar dibendung.
“Kalau tanya pemimpin baharu, kita tak nak benda itu (kerjasama Anwar-DAP). Bukan mudah kita nak yakinkan masyarakat akar umbi nak bersama dengan Anwar dan DAP. Kita sebagai orang Melayu pun alergi dengan mereka.
“Lagipun kalau PRU-15 (dalam masa terdekat) tidak boleh buat apa dah, lagi merosakkan (UMNO) ada lah kalau kita dikaitkan dengan DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengakuan Anwar bahawa pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan UMNO untuk mengadakan kerjasama meskipun selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hassan mengakui tidak tahu-menahu mengenai perkara tersebut.
Semalam pula, Ahmad Zahid dilaporkan sebagai berkata, UMNO telah mengenal pasti dua ahli MKT yang didakwa sering membocorkan rahsia mesyuarat tertinggi parti itu.
Ahmad Zahid memberi amaran, UMNO tidak akan bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti.
Mohd. Zain berkata, dalam hal ini, Ahmad Zahid tidak sepatutnya mendiamkan diri dan perlu mendedahkan siapa dalang tersebut sekali gus menghukum perbuatan mereka yang didapati mengkhianati dasar parti.
Beliau bagaimanapun, tidak menafikan mereka yang terlibat itu adalah orang-orang yang mempunyai kepentingan demi menguntungkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan parti.
“Sepatutnya (Presiden yang mendedahkan perkara ini), tetapi saya rasa beliau tidak akan buat begitu kerana takut benda lain pula akan terbuka.
“Saya mengutarakan pandangan ini berasaskan pengalaman dan matlamat untuk kepentingan Melayu Islam. Kalau nak kata saya ada kepentingan, saya tak nampak nak jadi menteri atau wakil rakyat. Yang penting (kita jaga) kawasan kita (walaupun) kawasan saya ini Pas. Saya jadi penonton saja tidak mengapa asalkan kita sokong orang Melayu Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE