PETALING JAYA: DAP menegaskan dakwaan pengundi hantu konon berlaku sewaktu pemilihan parti negeri Perak tidak berasas sama sekali dan semua perjalanan pemilihan kepemimpinan semua peringkat dilakukan secara telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, senarai perwakilan konvensyen negeri disahkan Bahagian Organisasi Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan mereka yang layak untuk hadir adalah berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh pengurus pilihan raya.
Katanya, pengurus pilihan raya untuk konvensyen negeri adalah dilantik oleh Ibu Pejabat Kebangsaan DAP dan secara lazimnya adalah pemimpin negeri lain yang tiada mempunyai kepentingan dalam proses pemilihan di negeri tersebut.
“Sebelum seseorang wakil mendapat kertas undi mereka, kad pengenalan mereka akan diperiksa dan disahkan butirannya mengikut senarai perwakilan.
“Semua jawatan kuasa negeri yang bertanggungjawab untuk menguruskan logistik untuk konvensyen negeri juga perlu mematuhi segala tatacara dan prosedur yang ditetapkan oleh Bahagian Organisasi Kebangsaan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Konvensyen DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) Perak kecoh dengan dakwaan berlaku penipuan mengenai jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi bagi memilih ahli jawatan kuasa DAP negeri.
Dakwaaan itu ditimbulkan oleh satu kumpulan melibatkan gandingan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran apabila pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Siew Fook menegaskan, semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
Katanya, beliau berasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku dalam Konvensyen DAP Negeri Perak yang berlangsung semalam dan ia tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan parti.
“Saya ingin menegaskan bahawa semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu.
“Sebagai Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan segala proses pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan, Konvensyen Biasa Negeri dan Kongres Kebangsaan parti dijalankan dengan penuh integriti.
“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti dan menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka. Setiap ahli DAP juga perlu sentiasa menjunjung perlembagaan parti yang menjadi asas kepada perjalanan dan fungsi parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE