Dakwa dibuli, UMNO terima dana dari Bersatu? - Utusan Malaysia

Dakwa dibuli, UMNO terima dana dari Bersatu?

KAMARUL ZAMAN YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO dikatakan memohon sejumlah dana daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, September tahun lalu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff yang membuat dakwaan tersebut berkata, permohonan dana dibuat Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) ketika itu kerana parti berkenaan ‘terputus’ kewangan atas sebab-sebab tertentu.

Katanya, Annuar ‘mengadu’ masalah itu dalam satu pertemuan di Sibu, Sarawak, pada 16 September tahun lalu, maka, Muhyiddin bersetuju dan memberikan sejumlah dana yang besar kepada kempen UMNO dan BN di Sabah.

“Sekiranya Bersatu mahu membuli UMNO atau menganggap UMNO saingan Bersatu, maka sudah pastilah Muhyiddin tidak akan membantu UMNO di saat ia menghadapi kesulitan.

“Malangnya, soal pemberian bantuan kewangan Bersatu kepada UMNO ini tidak pernah diceritakan kepada ahli-ahli bawahan UMNO, yang sebaliknya dibawa ialah dakwaan UMNO dibuli oleh Bersatu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kamarul Zaman menjelaskan, isu pemberian dana itu telah disahkan sendiri oleh Setiausaha Akhbar Annuar, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menyatakan memang ada bantuan diberikan kepada UMNO melalui Annuar dan diserahkan kepada Presiden UMNO melalui pegawai-pegawainya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, mengikut logik akal, jika benarlah UMNO dibuli Bersatu dalam PRN Sabah, maka sudah pastilah UMNO Sabahmenjadi negeri pertama menyokong cadangan memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Bagaimanapun, katanya, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar awal-awal lagi menyatakan UMNO Sabah terus bekerjasama dengan Bersatu walaupun UMNO Pusat memutuskan sebaliknya.

“Apakah logik pihak yang didakwa dibuli tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan hubungan dengan pembulinya?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya