Daftar warga emas: Petugas kesihatan perlu turun padang - Utusan Malaysia

Daftar warga emas: Petugas kesihatan perlu turun padang

AMRAHI BUANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan digesa menghantar petugas kesihatan supaya turun padang susulan masih ramai lagi warga emas yang tinggal di negeri ini masih belum mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya petugas kesihatan yang sedia ada untuk pergi ke rumah bagi membantu golongan tersebut mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Tindakan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang membenarkan warga emas didaftarkan melalui akaun MySejahtera anak, saudara mara atau penjaga mereka adalah satu usaha baik.

“Namun, usaha ini tidak mencukupi kerana ada yang tidak mengetahui bagaimana cara untuk mendaftar melalui MySejahtera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mendedahkan, kira-kira 90 peratus warga emas di Selangor belum mendaftar dalam PICK.

Malah, berdasarkan pemerhatian pihaknya mendapati jumlah itu melibatkan individu berusia 63 tahun dan ke atas yang berisiko dijangkiti virus berkenaan.

Tambah Amrahi, selain petugas kesihatan, pejabat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu membantu kerajaan pusat bagi menjayakan program berkenaan dengan mengarahkan pegawai pejabat itu untuk pergi ke rumah penduduk kawasan mereka.

Jelasnya, kerajaan pusat perlu bekerjasama dengan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekiranya mereka merasakan jumlah pegawai kesihatan yang boleh turun padang tidak mencukupi.

“Inilah masanya bagi kerajaan pusat untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak supaya sasaran imuniti kelompok selewat-lewatnya Februari tahun hadapan dapat dicapai.

“Saya berharap kerajaan pusat dan negeri dapat bertindak segera memandangkan fasa kedua PICK akan bermula kurang dari dua minggu,” tegasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN