Dadah RM5.2b disorok dalam roda castor dirampas - Utusan Malaysia

Dadah RM5.2b disorok dalam roda castor dirampas

ABDUL Latif Abdul Kadir (tengah) menunjukkan kontena yang disita mengandungi 16 tan pil captagon yang dianggarkan bernilai RM5.2 bilion. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 94.8 juta biji pil captagon disyaki mengandungi dadah jenis amphetamie yang disorokkan dalam roda castor dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 15 Mac lalu.

Ketua Pengarah kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, bertindak atas maklumat perisikan daripada Direktorat Jeneral Pengawalan Narkotik Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, sepasukan anggota Kastam Cawangan Narkotik berjaya menyita tiga kontena berukuran 40 kaki di Pelabuhan Klang, Selangor.

Katanya, hasil pembongkaran yang turut mendapat kerjasama dengan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu telah membawa kepada penemuan 16 tan pil berkenaan yang dianggarkan bernilai RM5.2 bilion.

“Siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut tiba dari sebuah negara di Asia Barat dan dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.

“Rampasan dadah ini adalah rampasan terbesar yang pernah direkodkan oleh kastam setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar rampasan itu di Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Narkotik Kastam di Nilai di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (Risikan dan Operasi) PDRM, Deputi Komisioner Zainudin Ahmad.

Tambah Abdul Latif, pihak penghantar mengikrar barang berkenaan sebagai roda castor dan menggunakan bungkusan kotak yang sama.

“Isi dalam castor itu ialah pil dan saya difahamkan setiap satu castor dimuatkan sebanyak 1,000 pil bernilai RM54,000.

“Maklumat yang kami terima kontena-kontena berkenaan transit di Malaysia sebelum dihantar ke negara lain,” tambahnya.

Jelasnya, hasil kerjasama keselamatan itu juga dianggap sebagai salah satu kejayaan terbesar dalam memerangi kartel dadah antarabangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya