BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM120,000 dan menahan enam suspek dalam empat serbuan berasingan di beberapa lokasi di sini bermula pukul 6.05 petang semalam hingga pukul 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, serbuan itu turut dijalankan di sekitar Perai dan Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS).
Katanya, dalam serbuan pertama di tepi jalan di Kampung Permatang Batu di sini, polis berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 17 dan 26 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek menjumpai satu beg plastik berwarna hitam di dalam raga motosikal dan dadah dalam poket seluar salah seorang suspek.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas satu peket plastik dipercayai mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 76 gram bernilai RM7,600 dan dua paket plastik methamphetamine lain seberat 830 gram dengan nilai RM29,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shafee berkata, serbuan kedua di sebuah tapak pembinaan berhadapan sebuah premis di Taman Irama, Perai.
Susulan maklumat daripada suspek tersebut pula, membawa kepada penemuan dadah dalam kuantiti yang lebih banyak di dalam sebuah rumah kongsi di situ.
Katanya, dadah itu masing-masing satu peket plastik methamphetamine seberat 1,037 gram bernilai RM36,000 dan satu paket methamphetamine seberat 1,038 gram dengan nilai yang sama.
Turut dirampas tambah beliau, empat peket plastik berisi methamphetamine seberat 103.30 gram bernilai RM3,700 dan satu paket plastik heroin seberat 112 gram bernilai RM5,165.
“Serbuan ketiga pula yang dilakukan kira-kira pukul 9 malam tadi membawa kepada penangkapan suspek ketiga berusia 31 tahun di sebuah rumah flat di Sungai Rambai di sini,” ujar beliau.
Kata Shafee, berbanding dua suspek sebelumnya yang tidak memiliki rekod lampau, suspek ketiga yang bekerja sebagai pekerja kontrak itu pula memiliki empat rekod berkaitan dadah dan dua rekod jenayah.
Katanya, ketiga-tiga suspek yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagaimanapun didapati negatif dadah selepas satu ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka.
“Sementara itu, serbuan keempat pula yang dibuat di Jalan Besar Sungai Bakap, SPS membawa kepada penangkapan tiga lagi suspek berusia antara 20 hingga 23 tahun.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas satu peket plastik lutsinar mengandungi 40 peket kecil plastik heroin seberat 31.42 gram bernilai RM1,050 dan satu peket plastik methamphetamine seberat 0.81 gram yang bernilai kira-kira RM50,” katanya.
Beliau berkata, dua daripada tiga suspek positif dadah selepas satu ujian saringan air kencing dijalankan dan kes berkenaan disiasat di bawah tiga kesalahan berbeza iaitu di bawah Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 12(3) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – UTUSAN ONLINE