BATU GAJAH: Cubaan seorang lelaki untuk meloloskan diri setelah melarikan sebuah kereta ketika pemiliknya membuang air besar di sebuah tasik membawa padah apabila terlibat kemalangan di Jalan Jutaria di sini hari ini.
Suspek berusia 34 tahun yang memiliki rekod jenayah lampau itu mengalami kecederaan di bahu kiri dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu suspek cuba memotong sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita.
Katanya, cubaan suspek bagaimanapun gagal dan kereta dipandunya melanggar bahagian sisi belakang sebelah kanan Perodua Myvi yang dalam perjalanan dari arah Sri Pangkalan ke Batu Gajah.
“Kemalangan itu menyebabkan suspek cedera di bahu manakala pemandu Perodua Myvi tidak cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sebelum kejadian, pihak polis menerima maklumat kes curi kereta daripada pengadu iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun.
Katanya, lelaki itu memaklumkan kereta yang telah dimatikan enjin itu diletakkan di tepi jalan berhampiran tasik kerana mangsa mahu membuang air besar.
“Kira-kira 15 minit kemudian, mangsa terdengar bunyi enjin keretanya dihidupkan dan kemudiannya mendapati keretanya telah tiada. Ketika kejadian, kunci kereta masih berada dalam kenderaan.
“Lelaki itu segera menghubungi polis untuk bantuan dan kereta yang hilang itu dijumpai semula setelah terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Menurut beliau, mangsa telah membuat pengecaman ke atas kereta berkenaan dan mendapati kereta tersebut adalah miliknya.
“Suspek yang ditahan mempunyai dua rekod lampau bersabit kes curi dan dadah.
“Siasatan lanjut ke atas suspek dijalankan mengikut Seksyen 397A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE