Cuma 5 pekerja asing disaring positif Covid-19 semalam - Utusan Malaysia

Cuma 5 pekerja asing disaring positif Covid-19 semalam

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui saringan wajib di seluruh negara semalam, jatuh semula setelah naik sehari sebelumnya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia merekodkan lima individu direkodkan semalam berbanding 11 individu kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 2,890 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Secara kumulatif, ujarnya lagi, sejak awal Disember lalu, seramai 651,081 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 33,781 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 10,034 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 641,047 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,534 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 26 tapak binaan beroperasi di seluruh negara semalam.

“Kesemuanya didapati mematuhi peraturan dan sejak 20 April tahun lalu, 9,250 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN