Cuma 17 ingkar SOP, paling ramai di pusat hiburan - Utusan Malaysia

Cuma 17 ingkar SOP, paling ramai di pusat hiburan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam mencatatkan angka rendah.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya 17 individu diberkas berbanding 44 individu dicekup kelmarin dan 107 individu diberkas pada Sabtu lalu.

“Inilah angka paling sedikit pernah direkodkan dan kesemua dikenakan kompaun dengan kes paling banyak ialah aktiviti pusat hiburan iaitu 14 kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Ini diikuti baki tiga kesalahan tidak memakai pelitup muka dan mereka ujar beliau dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan 66,391 pemeriksaan semalam.

Ia melibatkan penugasan sejumlah 3,318 pasukan di seluruh negara yang melibatkan seramai 14,761 anggota dengan antaranya telah pun memantau sebanyak 16,892 tempat riadah.

Turut dipantau pasukan tersebut semalam ialah sejumlah 5,653 restoran, 4,609 pasar raya, 4,005 penjaja, 3,041 bank, 2,638 kilang, 909 pejabat kerajaan selain 279 buah rumah ibadah.

Tiga pendatang asing tanpa izin ditahan juga diusir semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan membendung kes penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak 52 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN