Cuepacs: Buru pemberi rasuah kakitangan awam - Utusan Malaysia

Cuepacs: Buru pemberi rasuah kakitangan awam

ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memburu individu atau syarikat yang memberi rasuah kepada mana-mana pegawai kerajaan dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Bagaimanapun, penglibatan segelintir kecil penjawat awam dalam gejala rasuah selama ini tidak mencerminkan keseluruhan integriti dan akauntabiliti semua warga perkhidmatan awam.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, tidak wajar untuk menghukum keseluruhan warga penjawat awam dan ia melupakan kesalahan golongan yang memberi rasuah.

“Hal ini menimbulkan persoalan adakah hanya penerima rasuah sahaja yang dipersalahkan sepenuhnya atau pemberi rasuah ini boleh dilepaskan atau diberi sedikit keistimewaan apabila tangkapan mereka (jika ada) tidak perlu didedahkan kepada masyarakat umum.

“Jumlah seramai 2,683 penjawat awam yang ditahan SPRM dalam tempoh 2015 hingga 2020 tidak mewajarkan kita terus menghukum kesemua 1.7 juta warga penjawat awam. Jumlah berkenaan tidak sampai 0.5 peratus daripada jumlah penjawat awam dan tidak wajar kita menyatakan ia sebagai barah yang tidak dapat dibendung lagi,” katanya.

Adnan berkata, gesaan ini dibuat kerana rasuah adalah ibarat penawaran dan permintaan yang perlu ada yang memberi dan menerima kerana jika tiada pihak yang menawarkan rasuah, bagaimana boleh wujud pihak yang menerima habuannya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan segelintir penjawat awam disifatkan mudah lupa diri apabila melihat peluang untuk menerima rasuah yang bukan sahaja boleh memudaratkan agensi atau jabatan yang mereka wakili tetapi juga diri sendiri.

Hal itu berikutan, Pengerusi Institut Intergriti Malaysia (IIM), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata tanggungjawab para pegawai adalah memberi khidmat kepada rakyat dan bukannya menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri.

Adnan berharap usaha SPRM untuk memerangi rasuah bersifat lebih holistik.

“Sekiranya kita benar-benar mahu membanteras salah laku ini ke akar umbi, perhatian yang sewajarnya juga perlu diberikan kepada pemberi rasuah.

“Jika usaha memburu pemberi rasuah ini diperhebatkan, kami yakin masyarakat akan lebih takut untuk terlibat dalam salah laku tersebut,” katanya

“Masih ada ruang dan usaha yang boleh diperbaiki lagi. Cuepacs berharap masyarakat terus memberikan sokongan kepada perkhidmatan awam kerana tindakan segelintir kakitangannya yang terlibat dalam gejala rasuah ini tidak mencerminkan keseluruhannya warganya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya