BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM3.9 juta di perairan Parit Amat, Muar dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 69 kilogram dibungkus dengan plastik teh.
“Serbuan dan rampasan berkenaan adalah hasil maklumat awam mengenai sebuah bot fiber dalam situasi mencurigakan sedang berlegar dan disyaki cuba memasuki perairan Parit Amat, Muar.
“Susulan itu, kita mengesan sebuah bot fiber yang dinaiki dua lelaki dipercayai warga Indonesia berdasarkan bot yang dinaiki mereka,” katanya ketika sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Batu Pahat di sini hari ini.
Menurut Nurul Hizam, suspek kemudian bertindak menukar haluan dengan berpatah balik memasuki Parit Amat dan memecut laju ke arah hutan paya bakau berhampiran sebelum meninggalkan bot berserta muatan di kedudukan 0.1 batu nautika barat daya Parit Amat.
“Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan menyusup ke dalam hutan paya bakau dan menghilangkan diri.
“Pemeriksaan ke atas bot suspek yang ditinggalkan itu telah menemukan empat beg plastik pelbagai warna, satu bungkus kurier serta satu beg sandang berisi 66 paket bungkusan teh yang mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya.
Katanya, bot suspek yang menggunakan enjin model Mercury dengan kekuatan 150 kuasa kuda turut dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat dan kes disiasat mengikut Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu beliau berkata, sebanyak RM4.3 juta nilai rampasan melibatkan cubaan menyeludup dadah sama ada diseludup masuk atau keluar melalui perairan Batu Pahat dan Muar direkodkan pada tahun ini.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibenteras dan dikawal di perairan Johor khususnya di Batu Pahat,” katanya.