Cubaan jahat kaitkan DAP dalam isu kalimah Allah - Utusan Malaysia

Cubaan jahat kaitkan DAP dalam isu kalimah Allah

ABDUL Aziz Bari menunjukkan laporan polis yang dibuatnya mengenai satu poster yang mengaitkan DAP punca kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam di IPD Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau antara tiga individu dalam DAP yang menjadi punca kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam dalam satu poster yang tular dalam media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu juga mahu pihak polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab di sebalik penularan poster berkaitan isu penggunaan nama Allah tersebut.

Selain Abdul Aziz, turut dinamakan dalam poster berkaitan ialah peguam serta Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya, Dr. Azmi Sharom.

Poster tersebut menyatakan bahawa Hakim Datuk Nor Bee menggunakan afidavit daripada tiga pemimpin DAP ini dalam membuat keputusan.

Menurut Abdul Aziz, perbuatan pihak tersebut membuat poster berkenaan dan ditularkan pada laman sosial adalah serius sekali gus cuba memainkan isu kalimah Allah.

Kata beliau, ia sama sekali melanggar amaran yang dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador supaya tiada mana-mana pihak turun ke jalan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

“Saya ingin jelaskan bahawa saya tidak terlibat, begitu juga DAP tidak terlibat dalam isu kalimah Allah ini.

“Malah, dalam peringkat Pakatan Harapan (PH) juga telah dinyatakan bahawa kami menjunjung Perlembagaan iaitu hak beragama serta melindungi kepentingan umat Islam.

“Kita harus berhati-hati agar isu ini tidak diputarbelitkan serta mengelirukan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau yang tiba pada pukul 12 tengah hari dan keluar kira-kira sejam kemudian.

Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang DUN Perak berkata, cubaan mengaitkan beliau dengan poster berkenaan juga adalah tindakan untuk mengaitkan DAP sebagai anti Islam.

“Ini cubaan untuk memberi gambaran bahawa DAP adalah anti Melayu dan anti Islam sedangkan manifesto parti DAP tidak pernah menyatakan sedemikian,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya