GEORGETOWN: Cubaan seorang lelaki menanam sendiri pokok ganja daripada benih dadah itu yang dibelinya untuk kegunaan sendiri, memakan diri selepas dia ditahan polis minggu lalu.
Penganggur berusia 26 tahun itu ditahan dalam serbuan sepasukan polis daerah Timur Laut di sebuah rumah teres di Pulau Tikus dekat sini, kira-kira pukul 12.10 tengah hari.
Ketua Polis Timur Laut, Assisten Komisioner Soffian Santong berkata, ketiga-tiga pokok ganja berusia lima bulan itu ditemukan ditanam di dalam pasu plastik dan diletakkan di tandas rumah yang disewa suspek.
Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan mengakui mencuba menanam pokok ganja itu selepas menemukan benihnya di dalam paket ganja kering yang dibelinya sebelum itu.
“Pada mulanya suspek cuba menanam empat pasu pokok ganja itu, namun hanya tiga yang subur manakala sebatang lagi mati.
“Ketiga-tiga pokok ganja itu masing-masing mempunyai ketinggian 48, 39 dan 46 sentimeter dan dianggarkan bernilai RM2,660,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurut Soffian, dalam serbuan di rumah suspek, polis turut merampas pelbagai dadah lain iaitu 28.5 gram heroin; 30.38 gram syabu dan 13.63 gram ganja di atas meja makan.
Selain itu, jelasnya, turut dirampas sebuah motosikal dengan jumlah keseluruhan sitaan operasi tersebut dianggarkan bernilai RM10,290.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek pula didapati positif methamphetamine namun dia tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis memandang serius kes menanam pokok ganja tersebut memandangkan suspek dapat melakukannya sehingga pokok ganja itu menjadi subur.
“Kita bimbang jika aktiviti seperti ini tidak dibendung boleh menjadi sumber ekonomi baharu kepada pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mempelajari teknik dan membuat kajian supaya pokok ganja ini boleh menjadi subur,” katanya.
Tambah beliau, pokok ganja itu ditanam suspek untuk kegunaan sendiri namun jika berjaya diproses boleh membekalkan dadah kepada 320 penagih.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6B, Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 6 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE