COvid-19: 5 kluster baharu, lima kematian - Utusan Malaysia

COvid-19: 5 kluster baharu, lima kematian

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus konsisten merekodkan kes sembuh melebihi 2,000 kes iaitu 2,147 kes manakala kes positif sebanyak 1,448 kes.

Sebanyak lima kematian serta lima kluster direkodkan dan kes aktif pula terus menunjukkan penurunan iaitu 18,010 kes berbanding semalam, 18,704 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 151 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 72 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor pula, terus menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 561 kes diikuti Johor, 273 kes; Sarawak, 199 kes; Kuala Lumpur, 103 kes.

“Baki negeri hanya merekodkan kes dua angka iaitu Pulau Pinang, 99 kes; Perak, 83 kes; Sabah, 54 kes; Kedah, 20 kes; Kelantan, 19 kes; Melaka, 11 kes; Negeri Sembilan, 10 kes.

“Terengganu pula, lapan kes; Perlis, tujuh kes; Pahang, satu kes serta Labuan dan Putrajaya, masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, semua kes adalah warga tempatan melibatkan dua kes di Selangor manakala Johor, Melaka, dan Sabah, masing-masing satu kes.

“Ia melibatkan empat lelaki dan satu wanita berusia antara 43 hingga 72 tahun.

“Semua kes mempunyai latar belakang penyakit seperti kencing manis, kanser usus, strok, paru-paru obstruktif kronik, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung dan peripheral vascular,” katanya.

Mengulas mengenai lima kluster, beliau berkata, ia melibatkan dua kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster berkaitan komuniti, dan satu kluster import.

Katanya, dua di Hulu Langat, Selangor, Kluster Sungai Puteh adalah Kluster komuniti, 21 kes dari 65 individu manakala Kluster Dagang Permai adalah kluster tempat kerja, 16 kes dari 135 individu.

“Johor pula mempunyai dua kluster iaitu Kluster Parit Penyengat Darat di Muar, 124 kes dari 317 individu manakala Kluster Pona adalah kluster import Johor Bahru, lapan kes dari 25 individu.

“Kluster terakhir adalah kluster komuniti, Kluster Melor di Pusa, Sarawak, seramai 335 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif,” katanya.

Tambahnya, 13 kluster yang tamat pada hari ini, Kluster Dialisis Batu, Kluster Intan Mas, Kluster Kupang, Kluster Tapak Bina Jalan Nipah, Kluster Sri Gading, Kluster Jalan Ithnin, Kluster Padas Damit, Kluster Kampung Samin, Kluster Seri Bayu, Kluster Industri Grisek, Kluster Jalan Suasa, Kluster Kampung Lukut, dan Kluster Jalan Satu KKIP. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya