CIDB NS keluarkan notis kepada lapan kontraktor - Utusan Malaysia

CIDB NS keluarkan notis kepada lapan kontraktor

ANGGOTA penguat kuasa CIDB memeriksa sebuah tapak binaan dalam satu operasi di Kampung Tersun, Mutiara Galla, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan notis terhadap lapan kontraktor termasuk satu kontraktor utama dalam satu operasi bersepadu sebuah tapak binaan bangunan di Kampung Tersun, Mutiara Galla, dekat sini hari ini.

Notis berkenaan dikeluarkan terhadap lima kontraktor, empat subkontraktor dan satu kontraktor utama di atas kesalahan melantik pekerja mahir yang tidak diakreditasi dan pemerakuan CIDB di bawah seksyen 33A Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994.

Pengarah CIDB negeri, Nur Iskandar Zulkefli berkata, operasi kali pertama berkenaan melibatkan enam agensi lain termasuk daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Rela dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri.

Operasi tersebut, jelasnya, juga bagi memastikan semua kontraktor pembinaan mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan.

“Hasil operasi pada hari ini CIDB telah menjalankan pemeriksaan terhadap lapan kontraktor dan satu kontraktor utama dan hasil pemeriksaan kami mendapati satu kontraktor tidak mempunyai perakuan pendaftaran. Satu notis telah dikeluarkan bagi maklum balas daripada pihak kontraktor bagi memastikan kontrak itu berdaftar.

“Daripada segi kesalahan pekerja mahir yang tidak diakreditasi, terdapat satu kontraktor utama dan empat subkontraktor telah dikenal pasti dan satu notis dikeluarkan untuk kontraktor ini memastikan semua pekerja mereka diakreditasi sebelum melaksanakan kerja di tapak binaan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas operasi tersebut hari ini.

Menurut Nur Iskandar, operasi penguatkuasaan CIDB tersebut merupakan program di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bahagian Penguatkuasaan CIDB Ibu Pejabat bagi tujuan menguatkuasakan Akta 520 di tapak binaan.

“Disamping itu, ia dapat mengeratkan kerjasama antara pelbagai jabatan selaras peruntukan undang-undang dan peraturan dibuat di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 serta undang-undang lain berkaitan agensi terlibat.

“Operasi seperti ini juga dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman penggiat industri terhadap pematuhan undang-undang yang berkaitan dengan industri pembinaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera JKKP negeri, Mohd. Izzuddin Ghazali berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, pihaknya tidak berpuas hati berkaitan keselamatan pekerja di tapak binaan berkenaan.

“Secara keseluruhan, memang tapak binaan ini kurang memuaskan dibawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan pihak kami juga telah menyita komponen perancah kerana berada dalam tidak selamat dan lokasi kerja tidak rapi dan berisiko pekerja jatuh apabila mereka berada di tempat tinggi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN