MELAKA: Seorang lelaki sanggup bersara awal daripada perkhidmatan tentera selepas 15 tahun bertugas, hanya semata-mata ingin mengorak langkah berniaga belacan dan cencaluk untuk menyara isteri dan enam anaknya.
Biarpun mendapat tentangan keluarga, namun bagi Mohd. Yusof Senin, 70, dia tetap tidak berganjak daripada keputusan yang diambilnya ketika itu.
Mengenang kembali detik-detik tersebut, katanya, dia hanya menjual cencaluk dan belacan yang dibuatnya sendiri serta pelbagai ikan masin.
“Waktu itu hidup memang susah tetapi saya beranikan diri tekad bersara awal sebagai tentera, biarpun ditentang adik-beradik dan sanak saudara. Namun saya tak peduli apa mereka cakap.
“Walaupun berniaga di pondok kecil ketika itu, saya tetap tabah dan cekal. Isteri, Aini Abdul Majid membantu saya. Ketika itu gaji tentera tak besar dengan enam orang anak. Sebab itu saya buat keputusan untuk mula berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kini hampir 34 tahun dia menjual cencaluk dan belacan serta makanan tradisional lain dan mampu menanggung enam anaknya yang sudah berusia antara 22 hingga 34 tahun, sehingga kesemua mereka berjaya menjejakkan kaki ke universiti.
Biarpun kesemua anaknya berjaya dengan memperoleh pekerjaan tetap, namun Mohd. Yusof dan isteri masih meneruskan perniagaannya.
Dia kini mendapat ruang berniaga yang dibina Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di tepi jalan di Klebang, Batang Tiga dekat sini yang sering menjadi tumpuan pelancong.
“Daripada 14 gerai yang dibina MBMB khusus menjual pelbagai makanan tradisional khususnya cencaluk dan belacan, saya adalah orang paling lama berniaga di situ,” jelasnya.