GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, CAP bimbang dengan punca kejadian tersebut kerana jika dibiarkan boleh menjejaskan kesihatan penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa akan datang.
“Kami kesal sehingga kini pihak berkuasa masih gagal menangani ancaman pencemaran di kawasan tersebut walaupun sudah berlarutan sekian lama.
“CAP berpendapat kelemahan dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan memberi kesan buruk ke atas semua pihak di situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Badan Bertindak Akademi Sains Malaysia (ASM) mendapati udara Pasir Gudang adalah beracun.
ASM menemukan punca pencemaran daerah Pasir Gudang adalah akibat partikel kimia berbahaya yang dikeluarkan menerusi cerobong-cerobong asap kilang.
Menurut Mohideen, hasil kajian ASM itu sekali gus menolak anggapan peristiwa getir yang berlaku pada 2019 disebabkan pembuangan sisa bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim.
“Sebelum ini, 6,000 penduduk di kawasan Pasir Gudang termasuk pelajar-pelajar di 111 buah sekolah mengalami loya, pening kepala, muntah-muntah akibat terhidu udara tercemar di kawasan tersebut.
“Laporan kajian ASM ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan CAP menggesa tindakan tegas diambil ke atas kilang-kilang yang terlibat agar ancaman pencemaran ini tidak berlarutan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, CAP turut menggesa JAS mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas kilang-kilang yang membuang sisa toksik dalam Sungai Kim-Kim ketika ini. – UTUSAN ONLINE