CAP bimbang nasib nelayan pantai Balik Pulau  - Utusan Malaysia

CAP bimbang nasib nelayan pantai Balik Pulau 

SALIRAN menjadi cetek akibat sisa buangan kolam ternakan udang di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang sekali gus turut mencemari kawasan sungai dan laut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat segera masalah pencemaran di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau yang didakwa berpunca daripada aktiviti ternakan udang.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima aduan daripada nelayan di Kuala Sungai Pinang yang bimbang sumber pendapatan mereka merosot akibat pencemaran sungai dan laut yang berlaku di kawasan itu, ketika ini. 

Ujar beliau, masalah yang berlaku lebih 20 tahun lalu itu berpunca daripada aktiviti ternakan udang yang telah memusnahkan beratus hektar hutan bakau di kawasan tersebut dan aktiviti pembuangan sisa kolam ke dalam saliran, sungai serta laut berhampiran. 

“Berikutan itu, tempat hidupan laut membiak telah terancam manakala ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di kawasan tersebut semakin pupus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohideen, ekoran masalah pencemaran itu, nelayan di kawasan tersebut kini hanya mampu meraih pendapatan antara RM30 hingga RM70 sehari berbanding sehingga RM200 sebelum ini.

“Selain mencemarkan sungai dan laut, sisa buangan dari kolam udang ini juga menyebabkan saliran di kawasan itu menjadi cetek akibat mendapan bahan tersebut. 

“Banyak aduan dibuat oleh nelayan-nelayan yang terlibat kepada pihak berkenaan, tetapi, tidak ada tindakan berkesan yang diambil,” katanya. 

Tambahnya,  CAP kesal dengan sikap pihak berwajib kerana tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap ancaman pencemaran yang berlaku dan membiarkan sumber perikanan serta nelayan di situ terus menjadi mangsa. 

“Kami bimbang jika masalah ini tidak ditangani dengan berkesan, alam sekitar di kawasan ini akan tercemar dengan lebih serius lagi pada masa akan datang dan nelayan-nelayan yang bergantung hidup kepada hasil sungai dan laut akan putus mata pencarian,” katanya. 

Dalam masa sama, tambah Mohideen, CAP juga membantah keras jika terdapat rancangan baharu oleh mana-mana pihak untuk meneroka hutan paya bakau di kawasan itu bagi melaksanakan perojek ternakan udang kerana boleh mencetuskan ancaman lebih buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan nelayan tempatan.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN