KUANTAN: Kebarangkalian terdapat warga asing menguasai ladang-ladang sayur di Cameron Highlands adalah terlalu kecil melainkan golongan itu ‘curi-curi’ mengusahakannya secara pencerobohan haram atau dengan kerjasama orang tempatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor berkata, kegiatan itu dipantau dan diberi perhatian sewajarnya menerusi Jawatankuasa Tindakan Cameron Highlands.
Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Pegawai Daerah Cameron Highlands dan dianggotai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa majlis daerah, Pejabat Tanah Cameron Highlands dan Jabatan Perhutanan.
“Ahli Parlimen Cameron Highlands juga adalah ahli jawatankuasa itu. Insya-Allah dengan tekad integriti tinggi perkara ini dapat dihindari daripada berlaku.
“Tindakan keras juga akan disyorkan diambil terhadap pengusaha dan pencerobohan,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pekebun-pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, kegiatan sedemikian di pusat peranginan tanah tinggi itu adalah terkawal kerana syarat ketat ditetapkan kerajaan negeri terhadap pemilik Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
“Tanah TOL yang dimiliki juga tidak boleh untuk disewakan dan jika hendak berbuat demikian perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri. Kadar sewa RM4,500 setahun untuk 0.4 hektar tanah.
“Saya boleh katakan, isu salah guna tanah TOL di Cameron Highlands boleh dikatakan kurang berlaku ketika ini disebabkan aspek kawalan dan penguatkuasaan yang ketat dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu berlaku mungkin disebabkan kurangnya tenaga buruh yang akhirnya memaksa pemilik tanah menyewakan kepada warga asing.
“Sebagai contoh di sini, pekebun-pekebun sayur cukup tenaga buruh, untuk apa kita hendak serahkan atau sewakan tanah kepada warga asing.
“Tambahan lagi, rata-rata pekerja asing di sini lebih suka bekerja makan gaji dari mengusahakan sendiri kerana syarat ketat ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE