TELUK INTAN: Dua pelajar lelaki termasuk seorang yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan polis kerana berlumba haram di Jalan Labu Kubong di Chenderong Balai, dekat sini, semalam.
Remaja berusia 15 dan 18 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Hilir Perak dalam operasi selama empat jam berakhir pukul 8 malam.
Ketua JSPT negeri, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, dua remaja itu ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan laju dan secara berbahaya dengan membuat aksi ‘wheelie’ dan ‘zig zag’.
Katanya, kedua-dua mereka berlumba dalam jarak lima kilometer dari Pekan Labu Kubong ke lokasi mereka ditangkap.
“Siasatan mendapati kedua-dua remaja itu masih bersekolah dengan seorang daripada yang ditahan itu sedang menduduki peperiksaan SPM.
“Mereka memberi alasan berada di lokasi tersebut kerana mahu keluar berjumpa rakan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua remaja itu dibawa balik ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu katanya, dalam operasi itu, 14 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran dan cermin sisi tidak mengikut spesifikasi serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE